AKTIVITI SENAMROBIK TARIK MINAT MAHASISWA BERSUKAN
- FATEN JALILLAH & SAADAH
- Jun 7, 2015
- 2 min read

Antara kakitangan FPBU dan FPQS yang turut serta dalam acara senamrobik
NILAI- Aktiviti senamrobik adalah satu langkah permulaan untuk menarik minat golongan mahasiswa melibatkan diri dalam aktiviti bersukan.
Dr. Mohammad Najib Jaffar, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Pengurusan Prestasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) berkata bahawa penganjuran aktiviti senamrobik patut dijalankan secara berterusan untuk menggalakkan mahasiswa sentiasa aktif bersukan.
“ Aktiviti riadah sebegini perlu dijalankan secara berkala agar mampu menarik minat para mahasiswa untuk bersukan di samping dapat mengeratkan ukhuwah sesama mereka”, ujar beliau.
Tambah Dr. Najib lagi, aktiviti bersukan adalah amat penting kepada tubuh badan manusia.
“Kata pepatah, akal yang cerdas lahir daripada tubuh badan yang cergas, jadi kita mestilah selalu mengamalkan budaya bersukan seperti senamrobik ini agar badan kita sentiasa sihat dan bertenaga,” tambah beliau yang ditemui selepas menyertai aktiviti senamrobik yang diadakan pada 27 Mei 2015.
Program Senamrobik, Berbasikal dan Pemeriksaan Kesihatan yang diadakan di Kompleks Sukan Tunku Najihah dengan bertemakan warna oren hitam telah mendapat sambutan yang cukup baik daripada pelajar USIM dengan jumlah kehadiran melebihi 100 orang pelajar dan juga kakitangan.
Pemeriksaan kesihatan secara percuma yang turut disediakan khusus untuk kakitangan USIM juga mendapat sambutan yang baik

Pemeriksaan kesihatan turut dijalankan kepada kakitangan USIM
Menurut Syamimey Mazlan, pegawai kesihatan bertugas berkata, pemeriksaan kesihatan tersebut dikhususkan untuk kakitangan sahaja kerana kesibukan mereka menjadi kekangan utama sehingga menyebabkan mereka jarang membuat pemeriksaan kesihatan.
“Pemeriksaan kesihatan pada hari ini terbuka kepada kakitangan-kakitangan pentadbiran fakulti sahaja kerana kita maklum bahawa mereka berhadapan dengan kekangan masa untuk membuat pemeriksaan di klinik. Jadi inilah masa yang tepat untuk mereka mengetahui tentang keadaan kesihatan masing-masing” , jelas beliau.
Sementara itu menurut Nurul Hatikah Mat Din, Exco Sukan Sekretariat Perhubungan Pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), sukan adalah satu aktiviti yang tidak dilarang dari sudut perspektif Islam, malah amat digalakkan untuk dilakukan.
“ Rasulullah menggalakkan umatnya bersukan tetapi haruslah menjaga batasan dan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Jika kita lihat pada hari ini ramai peserta hadir dengan memakai pakaian mengikut tema dan bertepatan dengan syariat Islam menunjukkan mereka tahu apa yang Islam ajarkan” ujar beliau.
Program anjuran Pusat Sukan USIM dengan kerjasama FPBU dan FPQS yang berlangsung hampir tiga jam itu berakhir dengan aktiviti berbasikal beramai-ramai oleh para pelajar.
Comments