top of page

TNC RASMI MAJLIS PENUTUP MATA 2.0

  • Najjah Wan Abdullah & Nurul Syazwani Mahad
  • Jun 3, 2015
  • 2 min read

NILAI - Mahrajan Thaqafiy Arabiy (MATA 2.0) yang berlangsung pada 6-9 Mei 2015 yang lalu membuka peluang kepada pelajar untuk memantapkan bahasa Arab melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.

MATA 2.0 merupakan kesinambungan kepada MATA 1.0 anjuran Sekretariat Nadi Thaqafah Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) yang bermula pada tahun lalu yang dilihat sebagai platform untuk memantapkan penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan mahasiswa USIM.

Menurut Prof. Dato Dr. Mustafa Haneefah, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata MATA 2.0 merupakan medium yang tepat untuk pelajar mengukuhkan lagi tahap penguasaan bahasa mereka khususnya dalam Bahasa Arab.

“ Saya lihat penganjuran MATA 2.0 membuka peluang yang luas kepada pelajar dalam memantapkan penguasaan bahasa terutamanya Bahasa Arab. Bukan senang untuk meningkatkan kecemerlangan bahasa kerana ia memerlukan usaha yang berterusan”, kata beliau ketika berucap di majlis perasmian penutup MATA 2.0 yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama FPQS.

Dr. Mustafa juga menyatakan rasa syukur beliau kerana dapat bersama dengan pelajar dalam majlis tersebut.

“ Saya jarang bertemu dengan pelajar kerana bidang tugas saya di bahagian Penyelidikan dan Inovasi kebanyakannya hanya memerlukan saya bertemu dengan pensyarah. Tapi hari ini saya dapat peluang untuk hadir menggantikan TNC Hal Ehwal Pelajar Prof Dato Dr Mohamed Asin Dollah yang sudah tamat perkhidmatannya,” kata beliau lagi.

Sementara itu, menurut Dr.Noor Azizi Ismail, Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, MATA2.0 bertujuan untuk menghidupkan bahasa terutamanya bahasa Arab dalam kalangan pelajar FPBU khususnya dan juga seluruh warga USIM umumnya.

“Tahap penguasaan bahasa Arab pelajar kita masih lemah kerana mereka tidak mempraktikkan penggunaan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian. Walaupun bahasa perantaraan di universiti ini hanyalah bahasa Inggeris dan bahasa Arab sahaja, namun pelajar masih tidak dapat menguasai kedua-dua bahasa ini dengan baik,” kata beliau ketika menerangkan antara objektif dianjurkan MATA 2.0 ini.

Program yang berlangsung selama empat hari ini membawakan banyak aktivit-aktiviti menarik, antaranya pertandingan kuiz bahasa arab, ‘choral speaking’, pertandingan memasak, lakonan, ‘ explorace’, nasyid dan aktiviti-aktiviti lain yang diadakan sepenuhnya dalam Bahasa Arab.

Bagi Hasyimah Ishak, johan nasyid kategori perempuan pula, beliau berpendapat program seperti ini sangat bagus kerana bukan sahaja dapat mengukuhkan penguasaan bahasa Arab pelajar, tetapi juga dapat mengeratkan silaturahim sesama mereka yang menyertai dari pelbagai fakulti.

Majlis penutup MATA 2.0, yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama (DKU) FPQS turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa daripada penyanyi nasyid Mu’adz Dzulkefly dan persembahan menarik daripada kumpulan qasidah Ar-Rayyan yang dianggotai pelajar-pelajar FPBU sendiri.

AP1T0067_525.jpg

Prof Dato Dr Mustafa Hanefah ,Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM berucap di majlis perasmian penutup MATA 2.0

AP1T0073_525.jpg

Antara gimik ketika majlis perasmian penutup MATA 2.0

 
 
 

コメント


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page