top of page

FKP ANJUR HARI TERBUKA 2015

  • Qatrun Nada Mohd Kamal & Mohammad Zulikram Ibrahim
  • Jun 3, 2015
  • 2 min read

NILAI- Hari Terbuka Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) ternyata berjaya mencungkil bakat terpendam para pelajarnya dalam kemahiran yang pelbagai.

Timbalan Pengarah program, Nadiah Ahmad Razali berkata beliau sangat berpuas hati dengan aktiviti- aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang berlangsungnya Hari Terbuka FKP ini termasuklah pertandingan khat, malam kebudayaan, Ladies Gala Night, pameran-pameran dan program Bengkel Dakwah,” tambah beliau.

Ujar beliau lagi, program yang melibatkan semua mahasiswa FKP ini membawakan tema kebudayaan dan mampu menyerlahkan bakat para pelajar terutamanya dalam kemahiran kendiri seperti lakonan, kebolehan dalam seni suara nasyid dan juga kemahiran pelbagai dalam pengurusan program.

Sementara itu. Nur Syafikah Syamsul Bahrin, peserta program Bengkel Dakwah berkata program ini adalah sangat bagus dan bermanfaat.

“Program seperti bengkel ini sangat bagus kerana memberi pendedahan yang lebih terperinci tentang ilmu dakwah dalam Islam dan mampu memberi pemahaman yang jelas kepada da’i tentang tugas mereka yang sebenarnya.” Kata Syafikah ketika ditemui selepas berakhirnya Bengkel Dakwah tersebut.

Tambah beliau lagi, program sebegini juga lebih baik jika dibuka penyertaannya kepada orang awam dan masyarakat diluar sana dan bukan hanya mensasarkan kepada pelajar USIM kerana pengisiannya yang terperinci boleh disebarkan dengan lebih meluas lebih-lebih lagi dalam aspek penyebaran dakwah.

Selain aktiviti yang pelbagai, terdapat juga gerai-gerai jualan yang dibuka oleh para pelajar disekitar perkarangan foyer FKP.

“Kami membuka gerai menjual makanan dan minuman ringan kerana kebiasaanya para pelajar lebih berminat untuk mendapatkan makanan ringan disamping makanan berat selepas waktu tengah hari.” Demikian kata Tarmizi Aiman, pelajar tahun tiga FKP yang turut mengambil bahagian berniaga sepanjang berlangsungnya Hari Terbuka FKP ini.

Menurut beliau lagi, memberi peluang kepada pelajar untuk berniaga seperti ini sangat membantu terutamanya bagi kumpulan-kumpulan pelajar yang berhasrat untuk mencari dana bagi menampung perbelanjaan program Lawatan Antarabangsa ataupun Global Islamic Student Outreach (GISO) ke luar negara.

Program selama seminggu yang turut mendapat penyertaan daripada para pelajar dari Sekolah Menengah Agama Putrajaya ini berakhir dengan kemeriahan perasmian penutup yang disempurnakan sendiri oleh Dekan FKP, Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Mohamed Ariffin.

FKP1.jpg

Persembahan nasyid perempuan antara aktiviti yang diadakan sempena sambutan hari terbuka FKP

FKP2.jpg

Persembahan teater oleh para peserta yang memeriahkan majlis penutup Hari Terbuka FKP 2015

FKP3.jpg

Penuh penghayatan persembahan daripada para peserta pertandingan pentomim

 
 
 

Comments


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page