PELANCARAN KARNIVAL PENCEGAHAN JENAYAH (IPT)
- Nor Umairah & Aida Shahrina
- Jun 2, 2015
- 2 min read

Barisan Kor Suksis USIM berjaya menarik perhatian penonton dengan persembahan kawalan kehormat
NILAI- Persembahan Kawalan Kehormat Kor Suksis Usim berjaya memukau mata penonton dalam majlis Pelancaran Karnival Pencegahan Jenayah 2015, peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Kawalan Kehormat Kor Suksis Usim ini bertujuan untuk meraikan kedatangan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Cp Dato’ Acryl Sani B. Hj.Abdullah Sani yang pertama kali ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Karnival ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran anggota Kor Suksis, warga USIM dan masyarakat komuniti terhadap kepentingan membanteras dan mencegah jenayah.
Disamping itu, ianya dapat membina semangat kerjasama dan tolong menolong antara satu sama lain dalam satu pasukan untuk menjaga kehormanian kampus USIM dan sekitarnya.
Malah ia dapat merapatkan lagi semangat ukhuwah dalam kalangan anggota Kor Suksis USIM dengan masyarakat setempat.

Persembahan kawalan kehormat yang dipersembahkan oleh barisan Kor Suksis USIM di karnival Pencegahan Jenayah peringkat IPT .
Forum yang bertajuk “Pencegahan Jenayah Tanggungjawab Siapa” dikendalikan oleh Timbalan Komandan Kor Suksis USIM, Supt. K/S Hisham B. Sabri yang melibatkan mahasiswa dari pelbagai IPTA.
Antara universiti yang terlibat adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut Cp Dato’ Acryl Sani B. Hj. Abdullah Sani yang merupakan ahli panel pertama forum ini, masyarakat perlu berganding bahu dan bekerjasama bersama polis untuk sama- sama menjaga keamanan negara.
“Masyarakat perlulah bekerjasama dan berganding bahu bersama anggota polis dalam membanteras kes jenayah di Malaysia”, kata Cp Dato’ Acryl Sani B. Hj. Abdullah Sani.
Menurut ahli panel kedua, Pensyarah Undang-Undang Fakulti Syariah Dan Undang-Undang Usim, Dr Resali bin Muda, pandangan negatif masyarakat terhadap polis perlu diubah dalam membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah.
Tambah beliau, masyarakat tidak harus berasa takut untuk berkomunikasi dan berurusan dengan anggota polis bagi menjamin keselamatan dan keamanan Negara.
Menurut Shahirah Munzani, pelajar tahun 3 Fakulti Pengajian Bahasa Utama, program ini sangat berguna untuk mahasiswi khususnya kerana ia memberi pendedahan tentang kepentingan menjaga keselamatan.
Pelancaran Karnival Pencegahan Jenayah ini diadakan pada 13 Mei 2015 yang bertempat di Dewan Besar USIM dan berakhir pada sebelah petang.
Program yang dianjurkan oleh USIM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihadiri seramai 300 orang.
Comments