MAHASISWA USIM CAKNA UMMAH
- AHMAD SOLEHIN
- Jun 2, 2015
- 2 min read

Para peserta Kelas Laskar Pelangi bergambar bersama sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa USIM

Para peserta membuat latihan kerja sekolah dan dipantau oleh sukarelawan yang membantu mereka
NILAI - Keprihatinan terhadap golongan kanak-kanak yang kurang mendapat pendidikan yang sempurna mendapat perhatian pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sehingga tercetusnya satu program khusus untuk mereka.
Program yang dinamakan Kelas Laskar Pelangi Semarak itu diterajui oleh saudara Muhammad Wafiy Sarip, pelajar tahun tiga Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) menyediakan kelas intensif secara percuma kepada kanak-kanak di komuniti Taman Semarak 2.
Menurut Muhammad Wafiy, mahasiswa perlu bersikap peka dengan masalah masyarakat.
“Atas dasar tanggungjawab, kita sebagai golongan terdidik seharusnya membantu mereka yang memerlukan terutama golongan yang kurang berkemampuan seperti mereka ini."
“Ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk membuat kerja-kerja kebajikan khususnya golongan mahasiswa atas dasar tanggungjawab sosial mereka terhadap perkembangan sosio-ekonomi masyarakat sekeliling dan mengambil peduli terhadap kualiti pendidikan kanak-kanak di sekitar flat Semarak," kata beliau.
Program ini turut dijayakan dengan hasil kerjasama daripada sukarelawan –sukarelawan serta mahasiswa daripada Kelab Penyayang (KPY) USIM sebagai fasilitator.
Siti Aminah Mohamed, bendahari Kelab Penyayang berkata bahawa program ini penting untuk kanak-kanak yang ketingglan dalam pelajaran.
“Saya berasa terpanggil untuk membantu kanak-kanak ini terutama dalam bidang akademik mereka kerana merasakan ianya sebagai amanah sebagai seorang mahasiswa untuk sama-sama menyumbang kepada ummah disekeliling dengan ilmu yang sedikit yang diperolehi di universiti”. kata Aminah.
“Sepanjang berada di dalam kelas ini, para sukarelawan akan membantu anak-anak ini dengan mengajarkan mereka subjek-subjek seperti Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu serta membantu mereka menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru-guru disekolah.” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Salmah binti Lehan salah seorang daripada penjaga kanak-kanak di Kelas Laskar Pelangi tersebut,beliau amat bersyukur dengan adanya program sebegini kepada anak-anak disana.
“Kelas secara percuma begini wajar diadakan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan kerana dengan cara inilah anak-anak yang tergolong dalam keluarga miskin mampu bersaing dengan mereka yang mendapat pendidikan sempurna serta membuka peluang kepada masyarakat menghulurkan bantuan dari segi sukarelawan ataupun dari aspek-aspek yang lain berbentuk harta benda seperti makanan,alat bantuan mengajar,keperluan seharian mereka dan lain-lain lagi”.
Kelas Laskar Pelangi Semarak(LPS) diadakan setiap Ahad sebanyak tiga kali sebulan bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Perkarangan Masjid Al-Azim Khairiah, Taman Semarak 2.
Comments