KURSUS DAKWAH TANPA SUARA ALTERNATIF DEKATI GOLONGAN OKU
- NURUL ATIQAH & AMIRAH
- Jun 2, 2015
- 2 min read
Nilai- Golongan OKU makin dipinggirkan daripada mendapat tunjuk ajar dan pendidikan agama yang sepatutnya sedangkan mereka mempunyai kemampuan untuk melaksanakan rukun ibadah dengan sempurna seperti insan normal yang lain.
Kata-kata ini diluahkan oleh Ustaz Norakyairee Mohd Raus, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) sewaktu ditemu ramah selepas berakhirnya Kursus Dakwah Tanpa Suara yang dianjurkan pada 13 Mei 2015 yang lalu.

Ustaz Norakyairee serius berkongsi pandangan tentang kepentingan gerakan dakwah kepada golongan OKU
Beliau yang merupakan penasihat Persatuan Sahabat FAQEH USIM megharapkan kursus ini dapat menjadi perintis penyebaran dakwah kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) terutama golongan bisu dan pekak.
“Kursus yang diadakan dengan kerjasama Sekretariat Perhubungan Pelajar (SPP) merupakan langkah memberi kesedaran kepada mahasiswa yang berlatarbelakangkan pengajian agama akan kepentingan berdakwah serta membuka peluang kepada mereka mempelajari bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan golongan OKU”.
“Kursus ini menyasarkan mahasiswa sebagai peserta kerana ingin memberi pendedahan kepada mereka berkenaan kemahiran mengajar golongan OKU seperti bisu dan pekak melalui bahasa isyarat tangan”, tambah beliau lagi.
Ustaz Norakyairee juga mengatakan bahawa kursus ini menyasarkan mahasiswa sebagai peserta kerana ingin memberi pendedahan kepada mereka berkenaan kemahiran mengajar golongan OKU seperti bisu dan pekak melalui bahasa isyarat tangan.
Sementara itu, Cikgu Syar Meze Mohd Rashid yang merupakan tenaga pengajar kursus tersebut menyifatkan profesion sebagai guru untuk golongan OKU ini adalah sangat mencabar.
“Bukan sesuatu yang mudah sebenarnya untuk bergelar cikgu kepada golongan ini, kerana selain perlu bersabar dengan kerenah yang pelbagai ragam saya juga perlu menyesuaikan teknik mengajar agar sampai kepada mereka secara telus,” ujar beliau.
Ustaz Syed Najihuddin Syed Hassan, pensyarah FPQS yang turut hadir ke kursus ini pula menyatakan, beliau menyambut baik program tersebut kerana ini adalah suatu peluang baginya mempelajari sesuatu yang boleh membantu golongan terpinggir dalam masyarakat.
“ Kita ada ruang dan peluang untuk menyampaikan dakwah kepada golongan OKU. Dengan kewujudan program seperti ini dapat membantu mereka memahami konsep Islam dengan lebih baik dan sempurna”.
Program yang berlangsung buat julung kalinya di USIM ini berakhir jam 5 petang dengan penyampaian cenderahati kepada para jemputan.

Golongan mahasiswa merupakan perintis penyebaran dakwah kepada golongan Orang Kelainan Upaya
Comments