top of page

BENARKAH TUHAN WUJUD MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM DAN SAINS

  • AISYAH FAUZI
  • Jun 2, 2015
  • 3 min read

IMG-20150528-WA0029.jpg

Abu Shariz Sarajun Hoda

Hasil penemuan kajian sains telah membuktikan bahawa segala yang terkandung di dalam al-Quran sangat tepat dan benar.

Al-Quran kalam Allah telah menjelaskan segala yang baru ditemui oleh pakar sains sejak 1500 tahun yang lalu apabila Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW.

Dari setiap cabang ilmu sains yang diterokai sudahpun mempunyai jawapan yang terdapat di dalam al-Quran. Persoalannya di sini, siapakah yang memberitahu Nabi Muhammad rahsia ini? Jika akal yang waras pasti dapat memikirkan tentang kewujudan Allah.

Pakar sains barat di dalam kajiannya menyatakan bahawa galaksi ada penciptanya. Di dalam al-Quran banyak ayat yang telah menjelaskan kebesaran Allah. Kemudian, hasil kajian sains dalam pelbagai bidang seperti astronomi, fizik dan perubatan telah menemui penemuan yang sama seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Terbukti al-Quran itu datangnya dari Allah, Tuhan pencipta alam.

Menurut Abu Shariz Sarajun Hoda, anak didik Dr Zakir Naik menyatakan bahawa di dalam bidang astronomi, alam semesta semakin berkembang, bermula dari satu kemudian semakin berpecah, dari cecair kemudian kepada pepejal.

Allah juga telah menerangkan bagaimana penyusunan hari berlaku dalam surah Az-Zumar ayat 5 yang bermaksud, “Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar; Dia menutupkan malam atas siang dan menutupkan siang atas malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan”.

Dalam bidang ‘Geology’ pula, tersebut di dalam al-Quran Surah An-Naba’ ayat 6-7 bahawa Allah menjadikan bumi sebagai hamparan dan gunung sebagai pasak. Hasil kajian membuktikan ianya benar dan sangat tepat, Ini kerana, jika gunung tiada, maka bumi akan bergegar .

Bahkan, jika dahulu dalam buku sains sekolah menyatakan bahawa matahari tidak berputar, tetapi penemuan terbaru menyatakan bahawa matahari juga seperti bulan yang berputar pada paksinya.

Namun, penemuan itu bukan satu benda baharu kerana di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 33 Allah berfirman, “Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya”.

Di dalam bidang fizik pula, jika kajian dulu menyatakan bahawa atom iaitu zarah ialah yang paling kecil, namun, kajian terbaru menemui bahawa di dalam atom terdapat proton dan neutron kemudian kini terdapat nano teknologi. Di dalam Surah Saba’ ayat 3 menjelaskan bahawa tiada yang dapat disembunyikan daripada Allah walaupun seberat zarah atau yang lebih kecil daripada itu.

Ramai yang membuat andaian bahawa apa yag terdapat di dalam al-Quran adalah tidak benar, namun, setelah kajian demi kajian membuktikan apa yang terdapat di dalam al-Quran adalah benar, bukan sahaja benar malah terlalu tepat.

Begitu juga di dalam proses kejadian manusia. Di dalam al-Quran Surah al-Mu’minun ayat 13-14 dan surah Al- Hajj ayat 5 menyatakan tentang proses kejadian manusia, bermula dari sperma, kemudian embrio, segumpal daging, tulang belulang, tulang belulang yang disaluti daging kemudian dijadikan makhluk.

Selain daripada itu, di dalam ‘General Science’, jika deria rasa pada kulit rosak, maka manusia tidak dapat merasa sesuatu yang disentuh. Begitu terperinci penciptaan Allah sehingga apabila manusia dibangkitkan semula, manusia dijadikan kepada bentuk asal dari sekecil- kecil perkara, cap jari, DNA dan retina mata. Begitulah besarnya kekuasaan Allah.

Adakah dengan semua tanda kekuasaan ini manusia tidak celik mata atau membutakan mata sehingga tertutup pintu hidayah mereka. Banyak kes murtad terutamanya di Malaysia berlaku kerana mereka tidak faham tentang Islam, tidak berkongsi tentang Islam lalu menjadikan mereka semakin jauh dengan Islam.

Di dalam Islam, tiada soalan yang tidak boleh di tanya, tetapi tanyalah kepada orang yang tahu. Persoalan benarkah Allah wujud telah terjawab semuanya di atas penciptaan seluruh alam.

Mukjizat al-Quran memberi petunjuk kepada manusia supaya mengingati Allah. Allah mengetahui segalanya dan ilmu manusia sangat terbatas. Dari perspektif sains, banyak kajian telah dijumpai dan ianya benar seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran. Sudah terbukti kebenaran al-Quran merupakan kalam dari Allah.

 
 
 

コメント


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page