top of page

ATRA RANGKUL NAIB JOHAN DI FESTIVAL TEATER NEGERI SEMBILAN 2015

  • Efrianis Arika Hasibuan Efendi
  • May 23, 2015
  • 2 min read

Persembahan teater Preh oleh ATRA USIM.

SEREMBAN - Pementasan teater Preh dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar sejarah apabila muncul Naib Johan dalam Festival Teater Negeri Sembilan 2015 yang berlangsung di Auditorium Raja Melewar, Kompleks JKKN, Negeri Sembilan.

Teater Preh karya Asma Nadia yang diolah oleh Aelong Silalahi, kumpulan teater USIM Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) diwakili 25 orang pelakon di bawah seliaan Pusat Kebudayaan USIM berjaya membawa pulang trofi, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak RM 3,000.

Menurut pengarah ATRA, Saidatul Salwani Hazman, Preh mempunyai keistimewaan yang tersendiri iaitu sarat dengan mesej, tauladan dan unsur-unsur Islamik dalam mendidik masyarakat.

“Preh bukan hanya menonjolkan konflik kekeluargaan dan cinta, malah menerapkan nilai murni dalam Islam dan mengajar kita erti usaha, tawakal dan sabar yang sebenar," kata beliau.

Sementara itu, tenaga pengajar ATRA, Aloeng Silalahi berkata, kejayaan ini lahir daripada sifat ukhuwah dan semangat yang tinggi dalam kalangan ahli ATRA di samping berkat doa masing-masing.

“Ini adalah satu anugerah namun ia juga ujian daripada Allah SWT supaya tidak berasa takbur dengan kejayaan ini. Malah, kemenangan ini menjadi platform untuk terus maju dalam menyemarakkan kegiatan seni teater." kata beliau.

Beliau juga berharap pelajar akan bersikap lebih terbuka dengan pementasan teater yang dilihat asing dalam kalangan pelajar USIM.

“Saya berharap mahasiswa USIM akan lebih ramai celik seni dan tidak segan menyertai aktiviti teater disamping ahli-ahli ATRA terus memantapkan kemahiran masing-masing dalam memartabatkan seni teater,” jelas beliau lagi.

Mengulas mengenai kejayaan ATRA, Pengarah Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, penyertaan pertandingan seperti ini membuka peluang mereka dalam mendidik khalayak di samping membangunkan tamadun akal manusia.

Hal ini kerana teater merupakan medium yang sangat dekat dengan penonton menerusi visual.

Keputusan penuh festival ini menyaksikan Kelab Penggiat Teater Negeri Sembilan berjaya merangkul gelaran juara menerusi teater ‘Tergantung’, manakala tempat ketiga Persatuan Sanggar Seri Menanti dengan persembahannya ‘Bisikan Cinta’.

atra.jpg

Pasukan ATRA membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 3,000 selaku naib johan.

 
 
 

Comments


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page