MAHASISWA PERLU AKTIF DEMI KESELAMATAN DIRI
- Mukminah Talib
- May 21, 2015
- 2 min read
NILAI – Mahasiswi perlu cakna tentang keselamatan diri dan perlu bersikap sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.
Menurut Puan Ruzana Sager Ahmad (gambar), Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan, banyak kes keganasan wanita yang dilaporkan melibatkan mahasiswi sebagai mangsa.
“Wanita atau mahasiswi perlu tahu cara menyelamatkan diri daripada bahaya serta berhati-hati ketika bersendirian kerana kita merupakan sasaran oleh penjenayah,” kata beliau dalam ceramahnya bertajuk “Siswi Aset Berharga” sempena Majlis Pelancaran FITUSIM dan Kempen Keselamatan USIM 2015.
Beliau juga berkata mahasiswi perlu aktif dan melibatkan diri dalam aktiviti sukan untuk mendapatkan kemahiran ketika menyelamatkan diri.
“Mahasiswi terutamanya perlu belajar seni mempertahankan diri sebagai langkah berjaga-jaga apabila menghadapi sebarang situasi yang tidak diingini,”tambah beliau lagi.

Puan Ruzana Sager Ahmad sedang menyampaikan ceramah beliau.
Mior Mohammad Syahirizan Bin Mohd Shafiqi, Pengarah Program berkata, program ini bertujuan untuk memperkenalkan gaya hidup yang sihat kepada pelajar di samping memberi kesedaran tentang keselamatan.
“Apa yang kita dapat daripada program ini ialah menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi USIM untuk bersama-sama turun bersukan.” kata beliau.
Beliau juga berkata kesedaran tentang keselamatan diri bukan hanya terbatas di dalam universiti sahaja bahkan masyarakat luar pun turut terlibat.
“Sebagai seorang pelajar yang tahu akan kepentingan penjagaan keselamatan, kita perlu memastikan masyarakat juga tahu akan kepentingan tersebut,” tambahnya lagi.
Majlis ini diteruskan lagi dengan konvoi berbasikal ke kawasan perumahan di sekitar USIM dengan membawa pesanan kepada masyarakat luar tentang kepentingan penjagaan keselamatan.

Peserta konvoi berbasikal masuk ke kawasan perumahan di sekitar USIM.
Menurut salah seorang peserta program ini Nur Fariza Abd Halim berkata, program ini memberi kesedaran bahawa pentingnya menjaga kesihatan dan keselamatan diri terutamanya sebagai seorang wanita.
“Dengan program ini saya didedahkan tentang kepentingan beriadah, seterusnya menjadikan saya seorang yang lebih aktif dalam beraktiviti.”
“Saya juga didedahkan dengan kaedah-kaedah mempertahankan diri seperti penyembur lada dan menggunakan kuasa untuk bersuara apabila berada dalam situasi yang berbahaya” kata beliau.

Salah seorang peserta konvoi berbasikal memberi penerangan tentang penjagaan keselamatan diri kepada penduduk di kawasan perumahan.
Comments