HUDUD PERLU PEMAHAMAN SEMUA PIHAK
- Ahmad Syaakirin Ramli
- May 21, 2015
- 2 min read
NILAI - Perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (II) atau Hudud memerlukan penelitian dan kerjasama daripada banyak pihak yang membabitkan kerjasama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Dr. Asyraf Wajdi, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) berkata Kerajaan Persekutuan telah memberikan laluan kepada Kerajaan Kelantan dengan menubuhan Jawatankuasa Teknikal Hudud Peringkat Pusat yang melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pakar-pakar perundangan.
“Untuk Kelantan melaksanakan Hudud, kita memerlukan sokongan daripada kesemua ahli parlimen yang beragama Islam untuk menyokong usul Hudud yang akan dibawa ke Parlimen,” kata beliau dalam Forum Hudud, Kebolehlaksanaannya di Malaysia.
Menurut Dr. Azhar, Panel Pelaksana Hudud, Kerajaan Kelantan sudah menggubal Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (Hudud dan Qisas) dari tahun 1993 lagi dan ia merupakan undang-undang hudud yang pertama dalam sejarah Malaysia.
“Tidak ada undang-undang itu (Hudud dan Qisas) di Malaysia pada ketika itu. Ini suatu pendekatan yang sangat proaktif dan diambil oleh seorang pimpinan ulama’ untuk menggubal Rang Undang-Undang tersebut kerana kesungguhan untuk melaksanakannya di Kelantan.”
“Kisah kenapa berlaku pada hari ini tidak perlu dijadikan isu kerana perlaksanaan itu bukan bermakna berhenti terus (sejak 1994 hingga 2015), tetapi kita menunggu masa yang sesuai untuk kita bentangkan balik dan sekarang adalah waktu yang sesuai,” ujar beliau ketika menjadi panel bersama dalam forum tersebut.
Turut hadir dalam forum tersebut adalah Dr. Eugene Yap, wakil dari Umbrella Christian Organization yang mewakili suara dan pandangan orang bukan Islam mengenai pelaksanaan Hudud di Malaysia.
Menurut beliau, orang bukan Islam (Non-Muslim) di Malaysia tidak menentang langsung Enakmen Jenayah Syariah bahkan menyokong tetapi mereka risau bagaimana pelaksanaanya ke atas orang bukan Islam.
“Secara umum ada tiga faktor mengapa orang bukan islam bimbang pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan. Pertama, jika terdapat dua sistem undang-undang, yang mana satukah undang-undang yang kita akan patuhi. Dan kedua, ia berkenaan bagaimana pelaksaannya kepada masyarakat bukan Islam. Dan, adakah pada satu hari nanti undang-undang Hudud akan terpakai juga pada masyarakat bukan Islam,” kata beliau.
Forum Hudud, Kebolehlaksanaannya di Malaysia anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 4 dengan tujuan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang Perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (II) dengan lebih terperinci.

Dr. Eugene Yap (kiri), Dr. Azhar (tengah) dan Dr. Asyraf Wajdi (kanan).
Comments