PERMULAAN HAMBAR BUAT PASUKAN BOLA SEPAK USIM
- MUHD NAJIB
- May 14, 2015
- 2 min read

Pemain pasukan USIM (jersi merah) melakukan serangan bertali arus sepanjang perlawanan.
NILAI – Pasukan bola sepak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memulakan kempen Liga IPT Zon Tengah 1 dengan hambar setelah tumbang kepada pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dengan jaringan 0-1 dalam perlawanan pertama liga tersebut.
Gol tunggal perlawanan muncul pada separuh masa pertama melalui jaringan Mohammad Azam Ismail, 23 setelah pasukan UiTM dihadiahkan sepakan penalti setelah pemain pasukan USIM melakukan kekasaran dalam kawasan penalti.
Mohd. Rashidi Mohd. Jamil, pengurus pasukan USIM, berkata pasukan beliau tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol walaupun mempamerkan aksi yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan.
“Kekalahan pada hari ini bukan disebabkan faktor padang, cuaca ataupun keserasian pemain tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi kami walaupun kami banyak melakukan serangan,” kata beliau.
Beliau turut berkata bahawa pasukan telah melakukan persiapan yang rapi untuk menghadapi liga tersebut.
“Pasukan kami telah membuat persiapan selama sebulan, namun persiapan kami sedikit terjejas disebabkan jadual perlawanan perlu diawalkan untuk memberi peluang kepada Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menghadapi peperiksaan akhir melakukan persiapan,” kata beliau.
Beliau juga berkata, pasukan USIM menyasarkan untuk ke peringkat akhir liga tersebut setelah dua tahun terkandas di peringkat separuh akhir.
Menurut Mohd. Najib bin Mohd. Sanusi, pengurus pasukan UiTM Puncak Alam, beliau berpuas hati dengan kemenangan pasukannya walaupun hanya dengan jaringan penalti.
“Kemenangan ini sudah memadai bagi pasukan kami sebagai membalas dendam kepada pasukan USIM setelah kami tewas 1-2 kepada mereka dalam perlawanan yang sama pada tahun lepas,” kata beliau.
Beliau berkata peluang untuk pasukan beliau mara ke peringkat akhir tampak mudah berikutan penarikan diri sebahagian pasukan.
“Pasukan kami menyasarkan untuk layak ke peringkat akhir pada tahun ini, namun kami perlu menang pada pusingan awal untuk mengelak bertemu dengan pasukan yang lebih kuat,” kata beliau.
Pasukan USIM dijadualkan bertemu pasukan Universiti Kuala Lumpur Business School (UniKL Bis) untuk menentukan sama ada pasukan USIM tersingkir atau mara ke peringkat yang seterusnya pada Khamis ini.
Komen pengurus USIM tentang perlawanan tersebut.
Comments