top of page

‘CULTURAL AWARENESS BOOT CAMP’ TINGKAT KESEDARAN SENSITIVITI ANTARA BUDAYA

  • Waiz Norman
  • May 11, 2015
  • 2 min read

IMG_20150603_105351.jpg

Para peserta program terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa.

PORT DICKSON : Kesedaran terhadap kepentingan menjaga sensitiviti antara budaya semakin berkurangan dan pengaplikasiannya dilihat semakin lemah dari semasa ke semasa khususnya dalam kalangan pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.

Menyedari kepentingan kesedaran sensitiviti budaya ini, USIM A’lamiyyah atau sebelum ini dikenali sebagai Pejabat Perhubungan Antarabangsa USIM mengambil inisiatif mengadakan satu kem yang bertujuan memberi kesedaran yang lebih tinggi berkaitan isu-isu sensitiviti budaya

setempat khususnya budaya Malaysia kepada pelajar-pelajar terpilih yang mewakili beberapa badan pelajar antaranya Majlis Perwakilan Pelajar, International Student Society, dan A’lamiyyah Ambassadors.

Menurut Timbalan Pengarah USIM A’lamiyyah, Puan Suhaili Abdul Jalil, antara objektif kem ini dijalankan adalah bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai antarabangsa, kaum, dan sensitiviti antara budaya.

‘Kem ini antara lain bertujuan mendedahkan pelajar terpilih untuk mempelajari etika dalam berurusan dengan pelajar tempatan dan antarabangsa, pelawat mahupun kakitangan USIM dan juga memberi pendedahan berkaitan etika berkelakuan dalam media sosial sebagai wakil USIM’, kata Puan Suhaili ketika menerangkan tujuan dan objektif kem ini diadakan.

Antara pengisian yang dijalankan dalam kem ini ialah sesi ‘ice breaking’, ceramah mengenai psikologi, etika dan budaya masyarakat Malaysia dan ‘tele-match’.

Kesemua slot dikendalikan oleh Dr. Rozita Abdullah, Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM.

IMG_20150603_105453.jpg

Slot yang melibatkan perbincangan antara pelajar tempatan dan antarabangsa

.

Antara slot yang paling menarik perhatian ialah apabila peserta dikehendaki berbincang dalam kumpulan mengenai isu-isu yang sering dihadapi oleh pelajar antarabangsa seterusnya membentangkan situasi yang dihadapi tersebut dalam bentuk lakonan semula.

Kem selama dua hari ini diadakan di Akar Beach Resort, Port Dickson dari 9 hingga 10 Mei 2015 disertai oleh 24 orang pelajar USIM dan dikendalikan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

IMG_20150603_105557.jpg

Antara slot yang melibatkan akitivit luar dewan.

 
 
 

Comentários


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page