top of page

IQRA’ JAMBATAN KE SYURGA PUPUK INTEGRASI NAQLI DAN AQLI

  • MADIHAH,UMMU & FARHANA
  • Apr 30, 2015
  • 2 min read

Picture1.png

PU Azman bersama jawatankuasa pelaksana program

NILAI- Ilmu naqli dan aqli menjadi landasan USIM untuk meluaskan peranan dalam usaha mengembangkan institusi ilmu pengetahuan ke peringkat global bertepatan dengan sasarannya untuk menjadi institusi rujukan serantau dalam intergrasi ilmu naqli dan aqli pada tahun 2016 dan global menjelang 2025.

Kenyataan ini diutarakan oleh Timbalan Pengarah Sekretariat Pusat Islam (SPI), Dr Siti Nubailah Mohd Yusof ketika mengulas mengenai penganjuran program ilmiah bertemakan IQRA’ Jambatan ke Syurga yang diadakan disini baru-baru ini.

“Semua perkara yang dilakukan perlulah bermula dengan Iqra’ iaitu membaca dan melaluinya, mahasiswa dapat memahami sesuatu perkara seterusnya boleh menyampaikan kepada masyarakat,” tambah beliau lagi.

Dr Siti Nubailah menambah bahawa tajuk IQRA’ Jambatan ke Syurga dipilih kerana Iqra’ dianggap sebagai perkara asas yang boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian mahasiswa.

Program anjuran Sekretariat Pusat Islam (SPI) dengan kerjasama Bank Islam Berhad yang diadakan bersempena ulang tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-15 menampilkan penceramah terkemuka tanah air iaitu Pencetus Ummah Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman yang mana beliau merupakan juara rancangan realiti agama Pencetus Ummah musim kedua terbitan Astro.

Sementara itu, PU Azman berkata konsep Iqra’ membawa maksud yang meluas kerana ianya bukan sahaja sekadar membaca malah kita perlu mengkaji dan menyampaikan.

Picture2.png

Iqra’ Jambatan Ke Syurga menampilkan PU Azman sebagai panel.

Iqra' juga membentuk satu tanggungjawab dalam kehidupan manusia khususnya umat Islam sebagai pendakwah.

"Aktiviti dakwah memerlukan kefahaman dan tanpa kefahaman maka ianya tidak akan berganjak kemana-mana".

"Pada hari ini, ramai umat Islam tidak mempraktikkan prinsip Iqra’ dalam kehidupan seharian sehingga menyebabkan salah faham terhadap sesuatu isu yang berlaku", tambahnya lagi.

Beliau juga berharap agar mahasiswa menerapkan prinsip Iqra’ dalam kehidupan seharian untuk membantu masyarakat dengan menghadiri program-program ilmiah yang dianjurkan oleh pihak universiti.

Pengarah program Ummi Nur Hazirah berkata, program anjuran Bank Islam ini untuk meraikan USIM sebagai pelanggan tetap Bank Islam mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai pihak termasuklah kakitangan USIM, kakitangan Bank Islam dan juga pelajar.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 4, USIM dihadiri oleh seramai 100 orang peserta.

 
 
 

Comments


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page