top of page

PROGRAM KEUSAHAWANAN LAHIR MAHASISWA BERDIKARI

  • Aisyah Yunus
  • Apr 26, 2015
  • 2 min read

NILAI – Lebih 140 buah gerai yang menawarkan pelbagai jenis jualan termasuk pakaian, makanan, minuman, buku serta perkhidmatan fotografi memeriahkan Program Minggu Keusahawanan Pelajar berlangsung pada 20 hingga 24 Mei 2015 di Pusat Keusahawanan Pelajar (PKP).

Program ini melibatkan hampir kesemua pelajar tahun tiga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di mana setiap pelajar wajib menceburkan diri dalam sebarang aktiviti keusahawanan sama ada berbentuk perkhidmatan ataupun jualan sebagai memenuhi tugasan wajib subjek Keusahawanan yang merupakan subjek wajib universiti.

Menurut Puan Kasumalinda Alwi, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) yang juga merupakan individu yang bertanggungjawab menyelia program ini, acara ini merupakan platfom yang terbaik bagi melahirkan siswa-siswi yang mampu berdikari serta mengaplikasikan kemahiran dalam menguruskan kehidupan.

“Saya berharap program ini mampu membentuk mahasiswa menjadi usahawan yang berjaya pada masa akan datang, sekali gus mengasah sikap kepimpinan serta kecekapan dalam menyelesaikan masalah secara kritis,” kata beliau.

ayam.jpg

Gerai makanan menjadi tumpuan pelajar.

Mohd. Alif Imran, pelajar tahun tiga Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) yang juga merupakan salah seorang peserta acara ini berkongsi pengalaman pertamanya berniaga.

“Melalui program ini, saya dan rakan-rakan berpeluang mencari pengalaman dalam perniagaan dan ternyata ia sangat mencabar dan menyeronokkan malah saya dan ahli kumpulan saya amat berpuas hati dengan hasil jualan kami yang amat memuaskan,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, program ini membuka peluang kepada para pelajar untuk mendapatkan dana bagi program pengantarabangsaan mereka.

“Kami bercadang ingin meneruskan perniagaan ini disebabkan sambutan yang menggalakkan sekali gus keuntungan perniagaan ini dapat membiayai bayaran program lawatan antarabangsa yang akan kami laksanakan akhir tahun ini.”tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang pengunjung, Khaleeda Aiza, pelajar tahun tiga FEM turut menyatakan rasa puas hati terhadap program ini.

“Aktiviti jualan ini memudahkan para pelajar untuk berbelanja disebabkan mereka tidak perlu keluar ke tempat yang jauh untuk membeli- belah kerana di sini telah tersedia pelbagai keperluan seperti makanan, pakaian dan sebagainya,” ujarnya.

11193289_901931499867519_4275926395377449014_n.jpg

Gerai pakaian turut terdapat di Minggu Keusahawanan Pelajar.

 
 
 

Comments


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page