PENGARAH FILEM MESTI ARIF SYARIAH
- Aidil Ashrawi
- Apr 26, 2015
- 2 min read

Mior Hashim Manap (tengah) dan Isazaly Isa (kanan) sedang menyampaikan forum.
NILAI - Untuk menghasilkan filem patuh syariah, penggiat industri filem mestilah seorang yang arif akan syariah Islam itu sendiri bagi memastikan perjalanan filem berada di landasan yang tepat.
Mior Hashim Manap seorang pengarah filem berkata kesedaran mengenai filem patuh syariah semakin mendapat perhatian dalam industri seni dan perfileman negara.
Namun menurut beliau, perubahan filem yang lebih patuh syariah di Malaysia berlaku secara berperingkat.
“Peluang untuk filem patuh syariah menguasai industri seni tanah air sememangnya akan memakan masa yang lama,” kata beliau.
“Hal ini kerana, jika dilihat hampir keseluruhan filem atau drama di Malaysia mengandungi unsur-unsur yang diharamkan dalam Islam seperti mempamerkan wanita yang mendedahkan aurat, bersentuhan dengan berlainan jantina dan sebagainya,” tambah beliau.
Beliau juga merupakan pengarah filem Setulus Cinta Aqilah berkata lagi pengarah yang menghasilkan filem yang berlawanan dengan konsep barat kurang mendapat perhatian daripada penggemar seni.
"Anda boleh buat jalan cerita atau skrip yang patuh syariah, tapi anda bersedialah untuk tidak jadi popular," ujar beliau.
Beliau menambah lagi, filem melayu tidak mempunyai identitinya yang tersendiri, malahan banyak meniru identiti filem bangsa lain kerana ianya dianggap mempunyai rating tersendiri.
Beliau berharap pelajar-pelajar USIM yang bakal menjadi pengiat seni masa hadapan, supaya banyak membaca dan menambah pengetahuan sebagai salah satu cara untuk membentuk idea bagi menjayakan perfileman patuh syariah di Malaysia kelak.
“Pelaksanakan filem patuh syariah tidak susah sekiranya semua pihak mempunyai kesedaran yang tinggi dalam perkara ini dan penggiat seni harus berganding bahu untuk merealisasikan filem patuh syariah yang berkualiti agar suatu hari nanti Malaysia terkenal dengan filem Islamik bertaraf antarabangsa,” kata beliau dalam Forum Apresiasi Filem Patuh Syariah.
Forum anjuran pelajar Sarjana Muda Komunikasi ini menampilkan dua orang panel iaitu Mior Hashim Manap pengarah filem dan Isazaly Isa penyunting filem mengupas isu filem patuh syariah di Malaysia.
Kommentarer