top of page

FST JUARA KESELURUHAN SUFA 2015

  • Nur Izzatulhanis & Nor Syafikah
  • Apr 25, 2015
  • 2 min read

fst.JPG

Barisan regu dan atlet Fakulti Sains dan Teknologi (FST) bergambar bersama trofi dan piala juara keseluruhan SUFA.

NILAI – Tahun ini sekali lagi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dinobatkan sebagai johan keseluruhan SUFA 2015 dengan pungutan mata terkumpul sebanyak 86 mata sekaligus mengekalkan kejuaraan mereka dalam Pertandingan Sukan Antara Fakulti (SUFA).

Kejuaraan FST di SUFA kali ini merupakan kejuaraan untuk tahun ketiga bermula pada tahun 2013 sehingga tahun 2015.

Menurut Dayangku Ummey Balqis, atlet FST, FST telah memegang tampuk kejuaraan dalam kejohanan SUFA selama tiga tahun berturut-turut .

“Ramai yang bertanya bagaimana FST mengekalkan kejuaraan mereka dalam SUFA. Saya berpendapat keistimewaan yang ada pada atlet-atlet FST ini adalah mereka mampu memberi komitmen yang tinggi dalam pertandingan ini. Mereka sanggup menghabiskan masa dan tenaga pada setiap petang untuk berlatih,” jelas Dayangku lagi.

Tambah beliau lagi, atlet perlu mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental serta disiplin yang tinggi.

Afiq Arif bin Aminuddin Jafry, atlet olahraga FST berharap USIM dapat memperluaskan lagi peluang kepada atlet-atlet yang berbakat supaya dapat menonjolkan bakat mereka secara tidak langsung dapat menghasilkan pemilihan yang tepat.

“Saya berharap pemilihan atlet bagi setiap fakulti dilakukan dengan lebih telus untuk kejohanan MASUM pada bulan Ogos ini kerana USIM memerlukan atlet yang mampu memberi persembahan yang terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.

Dalam kejohanan SUFA pada tahun ini, FST meraih 13 emas, dua perak, dan enam gangsa. Antara acara yang berjaya dirangkul pingat emas adalah futsal wanita, bola jaring, ping pong lelaki, tenis dan bola baling lelaki. Malahan, mereka juga berjaya menguasai acara balapan dengan meraih 8 pingat emas.

Sementara itu, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pergigian (FMeD) menjadi naib johan dengan pungutan mata sebanyak 62 mata. Tempat ke-3 pula dimenangi oleh Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dengan beza satu mata sahaja daripada FMeD, 61 mata.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan USIM, Encik Hamran Husin bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah.

 
 
 

Comments


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page