top of page

INCEIF TAWAR PELUANG PENGAJIAN BANTU KEWANGAN ISLAM DUNIA

  • NORAISHAH SAPAKIR & FATIN AMIRA
  • Apr 23, 2015
  • 2 min read

TEAM C.png

Dr. Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid menjawab persoalan daripada para pelajar selepas ceramahnya berakhir.

NILAI – Pelajar-pelajar berlatarbelakangkan pengajian Islam seperti Pengajian Syariah dan Quran Sunnah diberi keutamaan untuk kemasukan ke pusat pengajian International Centre of Education in Islamic Finance (INCEIF).

Hal ini dinyatakan oleh Dr. Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid, Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, INCEIF dalam satu ceramah yang disampaikan oleh beliau yang bertajuk ‘Furthering Your Studies In Islamic Finance’ di USIM baru-baru ini.

“Kami mengalu-alukan pelajar ini untuk menyertai kami dalam bidang Perbankan Islam kerana pasaran kewangan hari ini memerlukan pelajar yang mempunyai asas pembelajaran agama,” katanya ketika menyampaikan ceramah.

Perkongsian ini telah membuka mata para siswazah USIM bahawa mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kewangan selepas menamatkan Ijazah meskipun tidak pernah mengambil kursus tersebut semasa pengajian peringkat Ijazah.

Menurut Dr. Eskandar lagi, para pelajar di bawah pusat pengajian itu berpeluang mendapat tajaan biasiswa asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Kami memberi peluang kepada pelajar dengan menyediakan pelbagai tajaan biasiswa untuk mereka selagi mana dapat mengekalkan CGPA sebanyak 3.00 ke atas,” ujar beliau.

Antara bidang pengajian yang ditawarkan di INCEIF adalah Master of Science in Islamic Finance (MSc), Master in Islamic Finance Practice (MIFP) dan Doctor of Philosophy in Islamic Finance (PhD).

Menurut saudari Che Wan Ilmi Sobirin Che Wan Amran, kebanyakan pelajar Malaysia tidak mengambil peluang untuk belajar dengan tajaan biasiswa.

“Ramai daripada pelajar Malaysia melepaskan peluang di tanah air sendiri untuk mendapatkan biasiswa khususnya daripada Bank Negara kerana mereka tidak tahu mengenainya,” katanya yang juga Setiausaha Syariah Law Club, Fakulti Syariah dan Undang-undang (SLC FSU).

Kebanyakan pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang kewangan tidak memohon biasiswa yang disediakan oleh BNM menyebabkan wang yang diperuntukkan kepada warga Malaysia diberikan kepada pelajar dari luar negara yang menuntut di Malaysia.

“Dengan adanya program sebegini, INCEIF dapat memberikan penjelasan kepada mereka yang berminat dalam kewangan Islam untuk menyambung pelajaran mereka dengan pembiayaan biasiswa yang disediakan.” tambah beliau lagi.

Program yang bertempat di Dewan Kuliah Fakulti (DKF 1.1) berakhir pada jam 4 petang dan telah diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati daripada pihak INCEIF kepada mahasiswa USIM.

 
 
 

Comments


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page