MB NEGERI SEMBILAN SUMBANG 50 BUAH BASIKAL
- Firdaus Azahari & Aida Razak
- Apr 22, 2015
- 1 min read
NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima sebanyak 50 buah basikal ‘mountain bike’ model Garion yang disumbangkan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan pada 17 April lalu.
Basikal tersebut diserahkan sendiri oleh Datuk Seri Mohamad dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Majlis Perwakilan Pelajar USIM di Kompleks Sukan Tunku Najihah yang turut dihadiri oleh Naib Canselor USIM Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.
Mohd Hafizzan Rusli @ Awang, salah seorang mahasiswa USIM yang menghadiri majlis penyerahan basikal tersebut berpendapat pemberian ini sangat istimewa kerana ia merupakan satu kemudahan Mahasiswa Usim khususnya.
“Bagi saya penyerahan basikal ini adalah pemberian yang besar kepada warga USIM kerana dapat memudahkan warga USIM beriadah,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, basikal baru ini sesuai digunakan dijalan berturap atau tidak berturap disamping sesuai untuk menaiki bukit.
Menurut Siti Aishah bt Rahmat, mahasiswi USIM yang juga aktif dalam aktiviti berbasikal berkata, pada setiap petang kebanyakan pelajar akan turun padang untuk menyertai aktiviti berbasikal di pavilion dan ada juga sebahagian pelajar yang suka berbasikal pada hujung minggu di sekitar kawasan USIM.
“Kami melakukan aktiviti berbasikal menaiki bukit ini seminggu yang lalu dan kebiasaannya kami mula bergerak dari Pavilion hingga ke bukit belakang Fakulti Sains dan Teknologi (FST) pada jam 5.00 petang,” tambah beliau.
USIM akan mengadakan program 'USIM Mountain Bike 2015 Challenge' pada 31 Mei nanti.

Menteri Besar Negeri Sembilan (tiga dari kiri) dalam majlis penyerahkan 50 buah basikal kepada USIM
Comments