top of page

USIM STREET DAKWAH TAWAN PASAR SENI

  • Ahmad Shauqi Mohd Yassin
  • Feb 28, 2015
  • 2 min read

usd 3.jpg

Persembahan USD di perkarangan Pasar Seni.

KUALA LUMPUR - Berkonsepkan ‘busking’ dan santai, USIM Street Dakwah (USD) berjaya menggamit pengunjung di Pasar Seni, Kuala Lumpur, semalam.

USIM Street Dakwah yang julung kali diadakan ini memberi kelainan dan keunikan tersendiri dengan membawa konsep ‘sharing knowledge dan ‘sharing awarerness’.

Pendekatan seumpama ini dizahirkan melalui persembahan-persembahan nyanyian yang mengandungi mesej dan disusuli dengan tazkirah atau peringatan daripada penceramah jemputan.

Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad turut hadir dalam program tersebut.

Beliau yang turut mendeklamasikan sajak pada program tersebut berkata aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan USIM ini merupakan suatu usaha yang kreatif dan murni dalam menyampaikan mesej berkonsep kesederhanaan atau wasatiyyah dalam Islam.

“Aspek seni di dalam program ini diketengahkan sebagai satu wadah dakwah untuk membawa masyarakat kepada kebaikan dan meninggalkan keburukan sejajar dengan tuntutan Islam iaitu amar ma’ruf nahi mungkar,” jelas beliau.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Dato’ Mohd Noordin Abbas, konsep ini sangat berkesan bagi mendekati Generasi Y yang sesuai dengan peredaran zaman pada masa kini.

“USIM tampil dengan konsep yang bertepatan dengan golongan sasaran khususnya pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan masyarakat secara amnya, di samping pendedahan mengenai kesenian dan konsep-konsep dalam Islam secara santai,” ujar beliau ketika ditemu ramah.

usd 2.jpg

Imam Muda Nazrul (tengah) memberi tazkirah diselangi dengan persembahan oleh USD.

Sementara itu, naib juara pertandingan realiti televisyen Imam Muda musim kedua Imam Muda Nazrul yang turut memberi tazkirah dalam program tersebut berkata penyampaian dakwah USD amat bagus.

“Penyampaian dakwah sebegini mampu menjadi ikutan masyarakat oleh kerana ianya sangat dekat dengan rutin seharian kita dan mudah untuk difahami sekali gus menghindari segala persepsi jumud mengenai dakwah hiburan sebegini," kata beliau.

USIM Street Dakwah diterajui 30 orang mahasiswa USIM terdiri daripada Urus Setia Kesenian Pelajar berhasrat meneruskan usaha menyebar luas dakwah Islam menerusi seni yang berlandaskan tuntutan agama dan akan meneruskan kerjasama dengan Kumpulan Utusan, Jabatan Pembangunan Wanita dan Malaysian Buskers Club dalam menganjurkan program-program seperti ini pada masa akan datang.

usd 1.jpg

Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad ( berdiri tengah) bersama ahli kumpulan USD.

 
 
 

Comments


About USIMToday
Recommanded Reading
Search By Tags
bottom of page